Wednesday, December 29, 2010

Parti Komunis Malaya...Pejuang atau Pengkhianat negara? (Bahagian akhir)

Pada bahagian awal artikel yang lepas, saya telah pun mengulas secara panjang lebar mengenai sejarah Parti Komunis Malaya. Secara kesimpulannya, kita boleh membuat tafsiran sebenar tentang perjuangan PKM. Perjuangan pihak komunis di Tanah Melayu tidak ubah seperti kumpulan pengganas-pengganas yang cuba mendapatkan simpati penduduk tempatan untuk menyokong perjuangan mereka. Fahaman yang dibawa oleh mereka berideologikan komunisme-marxists yang bertentangan dengan ajaran islam. Dalam erti kata lain, fahaman komunis menolak kehidupan beragama dan tidak mempercayai kewujudan tuhan. Bagi mereka, agama hanya layak dibuang dalam tong sampah. Di negara-negara komunis seperti di Kesatuan Soviet, semua bentuk kegiatan agama telah diharamkan dan kebanyakkan tempat ibadah seperti gereja dan masjid telah dimusnahkan. Golongan paderi pada era soviet dikatakan menjadi mangsa kepada pembunuhan besar-besaran sebagai tindak balas kepada mereka yang cuba menentang kerajaan komunis pada masa itu.

Cadangan untuk membawa Chin Peng kembali ke Malaysia merupakan satu penghinaan paling besar kepada veteran perang kita yang bersusah payah mengorbankan jiwa raga untuk menentang kezaliman komunis ketika zaman Darurat. Chin Peng umpama barah yang menjadi simbol keganasan yang bertanggungjawab menjahanamkan negara. Berapa ribu jiwa telah terkorban ditangan Chin Peng. Dosa-dosa Chin Peng terhadap rakyat negara ini tidak boleh dimaafkan sama sekali ramai ahli keluarga di kalangan mereka yang telah hidup menderita cacat akibat jerangkap samar yang dipasang oleh pihak komunis. Keganasan PKM telah menyebabkan kerajaan pada masa itu kerugian lebih daripada RM120 juta disebabkan kerosakkan harta benda awam dan kerugian ini belum dihitung lagi kerugian di pihak British. Pada masa itu,segala perbelanjaan negara lebih tertumpu pada kos untuk menampung bajet pertahanan negara serta menggajikan tentera dan polis yang telah direkrut untuk menentang PKM. Jadi,usaha pembangunan ekonomi negara tidak dapat dijalankan dengan baik.

Pihak PKM telah menghasut dan menggugut kepada penduduk tempatan yang enggan memberi kerjasama kepada mereka. Mereka juga akan dibunuh sekiranya tidak menurut sebarang arahan pihak komunis dan mangsa-mangsa yang telah dibunuh dengan kejam menurut minda komunis menjadi satu mesej yang menakutkan kepada sesiapa yang cuba lari daripada pihak komunis. Adakalanya penduduk tempatan yang berbangsa cina seringkali sasaran PKM. Mereka dipaksa untuk menjadi mata-mata komunis bagi tujuan mendapatkan bantuan makanan dan perisikan melalui kampung-kampung setinggan cina. Mata-mata komunis ini dikenali sebagai Min Yuen (Maksudnya adalah gerakan rakyat). Sekiranya bantuan yang diharapkan gagal diberi kepada pihak komunis,kemungkinan besar mereka dan seluruh keluarga akan turut diheret bersama dan pihak komunis tidak teragak-agak membunuh mereka semua. Daripada peristiwa ini, apakah kita sedar perjuangan PKM bukanlah untuk membela rakyat tetapi lebih kepada tindakan zalim tanpa batasan bagi mencapai matlamat sebenar mereka. PKM telah pun mencabuli hak asasi manusia dan menjadi satu kemestian bagi kerajaan untuk menolak cadangan mana-mana pihak yang mahu menjadikan PKM sebagai pejuang negara.

Sekali diingatkan, PKM bukanlah pejuang sejati untuk rakyat, dan tidak sesekali perjuangannya untuk membela nasib rakyat ataupun berniat untuk mejaga keamanan. PKM sepatutnya digelar sebagai PENGKHIANAT NEGARA. Tidak perlulah kita menegakkan benang yang basah semata-mata untuk menutup kejahatan komunis. PKM sebagai salah satu sejarah hitam yang membawa kehidupan negara kita ke lembah kehancuran. Apakah kalau pihak-pihak tertentu yang menyokong PKM sebagai pejuang negara, dan jika mereka hidup pada zaman keganasan komunis tersebut, adakah mereka akan bercakap perkara yang sama? Sejarah masa lampau tidak dapat diubah. Sejarah sesuatu perkara akan terus kekal selagi mana kita percaya dan berpegang pada kebenarannya.

Tuesday, December 28, 2010

Parti Komunis Malaya.....Pejuang atau Pengkhianat negara? (Bahagian awal)

Telah banyak salah faham berlaku mengenai sejarah Parti Komunis Malaya yang menjadi salah satu dalang kepada keganasan besar yang berlaku ketika era darurat 1948-1960. Terlalu banyak spekulasi dan khabar angin yang disebarkan oleh pihak tertentu yang bertujuan supaya Parti Komunis Malaya (PKM) diingati sebagai antara yang memberi sumbangan terhadap negara. Dalam artikel ini, saya ingin mengulas secara panjang melebar mengapa kita menolak hujah yang mengatakan Parti Komunis Malaya adalah pejuang negara. Secara umumnya, majoriti para sejarawan dan ahli akademik tempatan telah bersetuju bahawa PKM bukanlah pejuang negara tetapi PKM tidak ubah seperti sebuah organisasi pengganas yang sanggup buat apa sahaja untuk mengambil alih negara ini dengan menggunakan keganasan serta menutup kejahatan mereka dengan mendakwa turut berjuang menentang penjajah British dan juga kononnya memperjuangkan nasib pekerja serta kesamarataan.

SEJARAH PARTI KOMUNIS MALAYA

Parti Komunis Malaya telah ditubuhkan pada tahun 1930.Pertubuhan ini ditubuhkan bertujuan untuk menentang penjajahan British serta bercita-cita menubuhkan sebuah republik komunis.Di samping itu, PKM melalui agen-agennya yang membawa ideologi komunis yang berasal dari negara China cuba untuk menyebarkan fahaman komunisme kepada golongan pekerja dan petani dengan menyelusup masuk melalui kesatuan kerja,kelas dan pertubuhan awam tempatan. Semasa era penjajah Jepun memerintah negara ini bermula pada 1942-1945 daripada pihak penjajah British, PKM telah bergiat aktif untuk menentang penjajahan Jepun dengan menubuhkan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). MPAJA bekerjasama dengan pihak British melalui Force 136 untuk mendapatkan bantuan senjata,latihan,kemudahan logistik serta maklumat perisikan untuk menentang Jepun. Pihak British mengganggap hubungan antara PKM melalui MPAJA hanya untuk sementara waktu serta mendesak MPAJA untuk menyerahkan semula senjata yang diberikan oleh mereka kepada pihak British selepas tamat perang.

Selepas kekalahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1945 akibat pengeboman bom atom di Hiroshima dan Nagasaki oleh tentera Berikat (Amerika Syarikat) yang menamatkan perang dunia kedua, dan pada ketika itu Tanah Melayu tidak mempunyai institusi politik yang mentadbir. Pada masa yang sama pihak MPAJA(PKM) telah bersiap sedia untuk mengambil alih negara dengan melakukan keganasan 14 hari. Melalui pasukan gerila MPAJA, mereka telah melakukan keganasan yang tidak berperikemanusiaan dengan membunuh penduduk Tanah Melayu yang tidak berdosa. Mereka menahan,menangkap dan membunuh sesiapa yang disyaki pernah bersubahat dengan Jepun dan juga membunuh sesiapa sahaja yang tidak mahu bekerjasama dengan mereka. Pihak komunis juga menghukum dan menggugut sesiapa yang tidak mahu menyertai mereka dan sekiranya mereka enggan menyertai, kemungkinan seluruh keluarga mereka akan diheret ke medan pembunuhan besar-besaran. Menurut laporan penduduk kampung di Batu Pahat dan Jelebu,pihak MPAJA yang dikenali sebagai Bintang Tiga telah merampas harta benda penduduk dan membakar kampung-kampung. Adakalanya mereka mengenakan pelbagai cukai seperti cukai kepala,cukai harta serta membuat undang-undang rimba sendiri.

Keganasan yang dilakukan oleh Bintang Tiga (PKM) telah memberi kesan yang cukup besar kepada penduduk di Tanah Melayu. Antaranya berlaku ketegangan kaum kerana kebanyakkan PKM adalah orang cina. Yang keduanya adalah berlaku huru-hara yang luar biasa di beberapa tempat yang berdepan dengan keganasan komunis. Penduduk terpaksa berpindah-randah untuk menyelamatkan diri dari ancaman komunis serta sanggup menentang komunis yang bertindak zalim terhadap mereka. Contoh yang lebih tepat lagi adalah penentangan kiai salleh terhadap pihak komunis di bandar Batu Pahat. Keadaan di Tanah Melayu mula sedikit pulih selepas sekembalinya British ke Tanah Melayu. Pihak British telah memperkenalkan Pentadbiran Tentera British (PTB) sebagai suatu pentadbiran peralihan sebelum sebelum pentadbiran awam diperkenalkan.

Ketika era darurat yang berlaku pada sekitar 1948-1960, keadaan huru-hara kembali berlaku semula. Sebenarnya, pada masa itu boleh dikatakan berlaku perang antara gerila PKM dengan penduduk tempatan dan kerajaan British di Malaya. Istilah perang digantikan dengan darurat supaya penduduk Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) tidak berasa panik dan penduduk tempatan tidak akan menolak pemberian insurans untuk menggantikan harta benda mereka yang musnah (jikalau mereka mendapat tahu berlaku perang,mereka enggan menerima sebarang pemberian insurans). Langkah darurat ini dibuat bertujuan untuk membendung ancaman komunis serta tentangan parti-parti radikal yang sealiran dengan pihak komunis(PKM). Oleh itu,PKM telah diharamkan oleh kerajaan beserta parti-parti radikal yang bersekongkol dengan komunis. Pengharaman itu menyebabkan PKM bertindak dengan lebih agresif untuk menentang pihak kerajaan pada masa itu.Pembentukkan Persekutuan Tanah Melayu melalui Perjanjian PTM benar-benar memberi satu tamparan hebat kepada PKM kerana ia menjadi suatu kekalahan bagi PKM disebabkan mereka diketepikan oleh British.PKM merasakan peluang mereka untuk menguasai Malaya gagal akibat tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikan Malayan Union.

Bermula dengan tragedi pembunuhan tiga orang pengurus berbangsa inggeris di sungai siput,Perak pada tahun 1948 sehinggalah pembunuhan Sir Henry Gurney iaitu Pesuruhjaya Tinggi British. Menurut sumber sejarah, PKM telah menghasut orang ramai dan dikalangan mereka majoritinya adalah berbangsa cina. PKM mendapat pertolongan melalui Min Yuen untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan maklumat perisikan. Biasanya Min Yuen bergerak pada waktu malam dan ia sukar dikesan oleh pihak berkuasa oleh kerana mereka boleh menyamar sebagai penduduk tempatan. Situasi penduduk tempatan yang berada dalam keadaan kesulitan menyebabkan mereka rela untuk menyertai anggota polis/tentera untuk berjuang menentang komunis.

Langkah untuk membendung ancaman PKM dibuat melalui Rancangan Briggs yang berperanan untuk memindahkan penempatan setinggan cina yang disyaki membantu pihak komunis dengan menempatkan mereka semula di kampung baru yang berpusat. Ia dilengkapi dengan pagar dawai, kemudahan kesihatan dan pendidikan serta pengawal keselamatan. Selain itu, hampir 70,000 anggota polis British dan mata-mata khas ditambah.Perintah berkurung dikuatkuasakan serta merta dan juga pengenalan kawasan hitam dan putih. Sekatan jalan raya dilakukan dikawasan yang berisiko menghadapi ancaman komunis. Di samping itu, pasukan Home Guard diperkenalkan dan dianggotai lebih 200,000 oleh penduduk tempatan untuk membanteras ancaman komunis. Dan juga pengenalan sistem kad pengenalan bagi memudahkan identiti seseorang itu dikenalpasti.

Perang psikologi menjadi pilihan kerajaan untuk membendung sebarang anasir komunis. Tawaran berbentuk ganjaran diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkap ahli PKM terutamanya yang berjawatan kanan dalam PKM.Dianggarkan ganjaran lebih RM25,000 pada masa itu diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Chin Peng (Kepala PKM) sama ada menangkapnya hidup-hidup ataupun mati.Bagaimanapun, ganjaran yang diberikan telah menyebabkan anggota PKM belot terhadap parti mereka akibat termakan umpan ganjaran tersebut.Mereka tidak rela berdepan dengan tekanan serta tidak mahu menanggung kesengsaraan hidup dan lebih rela berpaling tadah daripada PKM.Kelemahan PKM akibat dilemahkan oleh penentangan secara besaran-besaran menyebabkan PKM mahu berunding dengan Kerajaan melalui Rundingan Baling 1955. Dalam rundingan tersebut, PKM mendesak Tunku Abdul Rahman untuk mengiktiraf PKM sebagai parti politik yang sah sebagai syarat untuk meletakkan senjata. Kerajaan Parti Perikatan pada masa itu dibawah pimpinan Tunku Abdul Rahman enggan mengiktiraf PKM dan menegaskan PKM supaya menyerah kalah sepenuhnya. Lagi pun, fahaman komunis yang dibawa oleh PKM tidak sesuai untuk sebuah negara yang berbilang kaum dan majoriti rakyat negara ini adalah orang islam. Pengiktirafan PKM sebagai parti politik juga tidak wajar dipertimbangkan oleh kerana PKM telah melakukan keganasan yang melampaui batas dan ramai rakyat Malaya terkorban angkara keganasan PKM.

Ancaman serius PKM telah berjaya ditamatkan disebabkan pengunduran mereka sempadan Thailand. Pada ketika itu, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan dan kerajaan Parti Perikatan menjadi parti politik yang sah dipilih oleh rakyat untuk mentadbir negara.

Bersambung pada bahagian terakhir nanti.....

Thursday, December 23, 2010

Perkara dalam Sejarah

Sejarah dikatakan berasal daripada perkataan bahasa arab iaitu syajaratun yang bermaksud pohon atau pokok. Sejarah dari segi bahasa bermaksud salasilah,riwayat,keturunan, dan asal-usul.Dari segi keseluruhannya,sejarah ialah peristiwa yang telah direkodkan dan berlaku pada masa lampau berdasarkan bukti-bukti catatan yang ditunjukkan ataupun sumber tersebut telah ditinggalkan sebagai sumber sejarah yang berkaitan masa silam serta diakui oleh para pengkaji dan pentafsir sejarah.

Perkara-perkara yang telah wujud dalam sejarah telahpun menjadi suatu entiti yang berlaku pada masa lampau.Menurut Winston Churchill, bekas perdana menteri Britain yang mengatakan apa yang kita pelajari daripada sejarah adalah,kita tidak benar-benar mempelajari dan memahaminya secara mendalam. Apa yang penting, sejarah yang dipelajari hendaklah dihayati dan cuba memahami secara keseluruhan perkara yang ada dalam sejarah tersebut. Kita melihat perkara sejarah,kita membacanya lalu kita cuba membayangkan tentang peristiwa yang berlaku dengan pemikiran dan akal yang ada.
Suatu perkara mengenai sejarah adalah ia membuatkan kita berfikir dan membuatkan kita ingin tahu mengapa ia boleh berlaku? Sebab dan akibat yang menyebabkan peristiwa itu berlaku serta kesan daripada peristiwa sejarah tersebut kepada kehidupan kita.

Entiti sejarah yang dihayati dan dijiwai sepenuhnya tanpa meragui kebenarannya dapat membentuk jatidiri dan semangat cinta akan negara,bangsa dan agama yang sama sekali tidak boleh diganggu gugat oleh fahaman haluan kiri.
Sejarah yang berorientasikan fahaman radikal ataupun haluan kiri merupakan suatu racun yang boleh membunuh entiti sejarah yang dilindungi oleh sumber dan bukti serta berupaya merosakkan pemikiran yang berlandaskan kebenaran sejarah itu sendiri.
Penentangan terhadap pengetahuan tentang fahaman sejarah yang berhaluan kiri boleh dibuat dengan cara melakukan penyelidikan sejarah dengan penemuan lebih banyak perkara ataupun maklumat yang dapat menyokong segala bukti yang dikemukakan.Penyelidikan yang dibuat seharusnya mengambil kira tafsiran dan pendapat pengkaji sejarah yang lain serta berijtihad untuk memberikan satu jawapan yang kukuh dalam menyokong fakta yang dibuat. Fakta dan segala sumber yang dikaji secara teliti menyebabkan ia tidak boleh dipersoalkan dan mampu menjawab segala keraguan yang ditimbulkan oleh fahaman sejarah yang berhaluan kiri.

Saya berpendapat bahawa sejarah yang bercirikan fahaman haluan kiri sukar untuk diterima oleh masyarakat disebabkan ia suatu teori yang sangat mengelirukan serta berupaya memecahbelahkan masyarakat mengikut fahaman sejarah yang bertentangan.Lagipun, sumber fahaman haluan kiri tersebut masih tidak disahkan kebenarannya umpama rekaan cerita dongeng. Bukti yang diketengahkan adalah tidak boleh dipercayai hasil daripada kajian yang dibuat kadang-kadang tidak relevan dan tidak dapat menyokong fakta yang dikemukakan.

Kesimpulan yang boleh dibuat,jikalau anda ingin mempelajari sejarah sesuatu perkara, anda perlu benar-benar mempelajarinya dan jangan mempersoalkan apa yang dah ditulis oleh sejarah disebabkan segala-galanya dilindungi oleh fakta dan bukti yang relevan. Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, anda perlu melihatnya,membacanya,membayangkannya serta menghayatinya dengan sepenuh hati tanpa ada rasa ragu-ragu terhadapnya.Jikalau anda masih lagi mempersoalkan kebenaran sejarah tersebut,saya mencabar anda supaya melakukan kajian yang disokong dengan bukti yang lebih konkrit berbanding sumber sejarah asal. Jikalau anda gagal mengemukakan lebih banyak fakta untuk mempertikaikannya, anda tidak ubah seperti pencacai yang sebaris dengan golongan pemutarbelit sejarah dan juga boleh diangkat sebagai petualang sejarah.

Peluang belajar selepas SPM

Setelah beberapa bulan selepas menunggu keputusan SPM keluar, anda sudah tahu keputusan SPM anda dan boleh berkira-kira hendak sambung belajar ke peringkat mana?

Misal kata kalau result SPM anda buruk, tidak seperti apa yang anda hajatkan, apakah anda menganggap diri anda selama-lamanya dalam kegagalan ataupun berasa rendah diri dengan pelajar lain yang mendapat keputusan cemerlang?

Walaupun keputusan SPM anda tidak berapa bagus contohnya kurang daripada 4A ataupun gagal beberapa subjek,anda mempunyai peluang yang cukup besar untuk melanjutkan program ijazah di IPTA atau IPTS tempatan.....dengan DUA PILIHAN YANG TERBAIK:

1. Melalui tingkatan 6 (Satu tahun setengah)

2. Program DIPLOMA di IPTA/IPTS ( 3 tahun)

Siapa yang memperoleh Keputusan SPM yang cemerlang contohnya dapat 10A,9A ataupun 8A tanpa gagal mana-mana subjek boleh sambung pelajaran ke:

1.Matrikulasi ( 1 tahun ataupun ade yg ambil dua tahun) (Fizik,biologi,kimia,add math dan subjek lain mesti cemerlang bagi yang ambil Sains hayat atau sains fizikal)

2.Program ASASI (UITM,UM,UIA- ni semua yang biasanya ditawarkan) ( satu tahun)

#Siapa yang ambil program ASASI dibawah nama universiti tersebut akan diserapkan ke dalam Universiti tersebut semasa mengambil degree (dengan syarat dapat pointer yang bagus) melainkan ASASI bawah KPTM

3.Siapa yang dapat keputusan SPM yang sempurna (excellent) contohnya 10A+ berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan biasiswa daripada JPA/MARA

ATAU

1.Kalau tidak berminat dengan ketiga-tiga pilihan ini, boleh melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 atau DIPLOMA.


Monday, October 25, 2010

Sajak Usman Awang - Melayu


SAJAK MELAYU


Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Ulasan:

Saya merasakan bahawa Sajak Melayu yang dikarang oleh Usman Awang ini perlu dihayati semula oleh bangsa Melayu supaya mereka tahu bangsa Melayu itu mempunyai peradaban dan keistimewaannya yang tersendiri . Ini mengingatkan bangsa Melayu untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada demi arus kemajuan semasa serta dalam proses memantapkan jati diri anak bangsa agar tidak hanyut dalam pengaruh globalisasi .

Saturday, September 25, 2010

Wednesday, September 8, 2010

Salam Hari Lebaran......


Setiap tahun umat islam di Malaysia berpeluang menyambut Hari raya Aidilfitri selepas berpuasa 30 hari pada bulan ramadan. Tiada apa yang nak saya tekankan kecuali mana-mana individu yang nak balik kampung supaya berhati-hati di jalanraya . Maklumlah setiap musim raya mesti ada nyawa yang melayang . Jangan lupa pula, kalau rajin nak pahala lebih, buatlah puasa enam dengan niat nak ikhlas untuk mendapat keredhaanNYA... . Untuk anak-anak kecil , pastinya raya memberikan satu keriangan semata-mata nak kumpul duit raya lebih dan yang lebih penting berjumpa dengan saudara dan rakan sepermainan .


Untuk diri saya pula ( penulis ), raya tahun (2010) ni taklah berapa meriah sangat dan biasa-biasa sahaja . Mungkin rasa keseronokkan nak raya tidak begitu tinggi , namun apa yang lebih penting lepas dua atau tiga hari raya, fokus utama beralih kepada SPM . Tahun ni nampaknya semangat nak raya perlu dikurangkan bagi mana-mana pelajar yang mengambil peperiksaan ( PMR dan SPM) . Bukan bermaksud tidak boleh raya, tetapi tumpuan kepada pembelajaran tidak boleh hilang begitu sahaja . Apa-apa pun , terpulanglah kepada mereka semua nak menguruskan masa pembelajaran sendiri . Akhir kata, selamat menyambut Hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin!!!!!

PEACE ........NO FIGHTING , JUST FORGIVE EACH OTHER........SARANGHAE!!!!!!