Wednesday, December 29, 2010

Parti Komunis Malaya...Pejuang atau Pengkhianat negara? (Bahagian akhir)

Pada bahagian awal artikel yang lepas, saya telah pun mengulas secara panjang lebar mengenai sejarah Parti Komunis Malaya. Secara kesimpulannya, kita boleh membuat tafsiran sebenar tentang perjuangan PKM. Perjuangan pihak komunis di Tanah Melayu tidak ubah seperti kumpulan pengganas-pengganas yang cuba mendapatkan simpati penduduk tempatan untuk menyokong perjuangan mereka. Fahaman yang dibawa oleh mereka berideologikan komunisme-marxists yang bertentangan dengan ajaran islam. Dalam erti kata lain, fahaman komunis menolak kehidupan beragama dan tidak mempercayai kewujudan tuhan. Bagi mereka, agama hanya layak dibuang dalam tong sampah. Di negara-negara komunis seperti di Kesatuan Soviet, semua bentuk kegiatan agama telah diharamkan dan kebanyakkan tempat ibadah seperti gereja dan masjid telah dimusnahkan. Golongan paderi pada era soviet dikatakan menjadi mangsa kepada pembunuhan besar-besaran sebagai tindak balas kepada mereka yang cuba menentang kerajaan komunis pada masa itu.

Cadangan untuk membawa Chin Peng kembali ke Malaysia merupakan satu penghinaan paling besar kepada veteran perang kita yang bersusah payah mengorbankan jiwa raga untuk menentang kezaliman komunis ketika zaman Darurat. Chin Peng umpama barah yang menjadi simbol keganasan yang bertanggungjawab menjahanamkan negara. Berapa ribu jiwa telah terkorban ditangan Chin Peng. Dosa-dosa Chin Peng terhadap rakyat negara ini tidak boleh dimaafkan sama sekali ramai ahli keluarga di kalangan mereka yang telah hidup menderita cacat akibat jerangkap samar yang dipasang oleh pihak komunis. Keganasan PKM telah menyebabkan kerajaan pada masa itu kerugian lebih daripada RM120 juta disebabkan kerosakkan harta benda awam dan kerugian ini belum dihitung lagi kerugian di pihak British. Pada masa itu,segala perbelanjaan negara lebih tertumpu pada kos untuk menampung bajet pertahanan negara serta menggajikan tentera dan polis yang telah direkrut untuk menentang PKM. Jadi,usaha pembangunan ekonomi negara tidak dapat dijalankan dengan baik.

Pihak PKM telah menghasut dan menggugut kepada penduduk tempatan yang enggan memberi kerjasama kepada mereka. Mereka juga akan dibunuh sekiranya tidak menurut sebarang arahan pihak komunis dan mangsa-mangsa yang telah dibunuh dengan kejam menurut minda komunis menjadi satu mesej yang menakutkan kepada sesiapa yang cuba lari daripada pihak komunis. Adakalanya penduduk tempatan yang berbangsa cina seringkali sasaran PKM. Mereka dipaksa untuk menjadi mata-mata komunis bagi tujuan mendapatkan bantuan makanan dan perisikan melalui kampung-kampung setinggan cina. Mata-mata komunis ini dikenali sebagai Min Yuen (Maksudnya adalah gerakan rakyat). Sekiranya bantuan yang diharapkan gagal diberi kepada pihak komunis,kemungkinan besar mereka dan seluruh keluarga akan turut diheret bersama dan pihak komunis tidak teragak-agak membunuh mereka semua. Daripada peristiwa ini, apakah kita sedar perjuangan PKM bukanlah untuk membela rakyat tetapi lebih kepada tindakan zalim tanpa batasan bagi mencapai matlamat sebenar mereka. PKM telah pun mencabuli hak asasi manusia dan menjadi satu kemestian bagi kerajaan untuk menolak cadangan mana-mana pihak yang mahu menjadikan PKM sebagai pejuang negara.

Sekali diingatkan, PKM bukanlah pejuang sejati untuk rakyat, dan tidak sesekali perjuangannya untuk membela nasib rakyat ataupun berniat untuk mejaga keamanan. PKM sepatutnya digelar sebagai PENGKHIANAT NEGARA. Tidak perlulah kita menegakkan benang yang basah semata-mata untuk menutup kejahatan komunis. PKM sebagai salah satu sejarah hitam yang membawa kehidupan negara kita ke lembah kehancuran. Apakah kalau pihak-pihak tertentu yang menyokong PKM sebagai pejuang negara, dan jika mereka hidup pada zaman keganasan komunis tersebut, adakah mereka akan bercakap perkara yang sama? Sejarah masa lampau tidak dapat diubah. Sejarah sesuatu perkara akan terus kekal selagi mana kita percaya dan berpegang pada kebenarannya.

No comments:

Post a Comment