Tuesday, December 28, 2010

Parti Komunis Malaya.....Pejuang atau Pengkhianat negara? (Bahagian awal)

Telah banyak salah faham berlaku mengenai sejarah Parti Komunis Malaya yang menjadi salah satu dalang kepada keganasan besar yang berlaku ketika era darurat 1948-1960. Terlalu banyak spekulasi dan khabar angin yang disebarkan oleh pihak tertentu yang bertujuan supaya Parti Komunis Malaya (PKM) diingati sebagai antara yang memberi sumbangan terhadap negara. Dalam artikel ini, saya ingin mengulas secara panjang melebar mengapa kita menolak hujah yang mengatakan Parti Komunis Malaya adalah pejuang negara. Secara umumnya, majoriti para sejarawan dan ahli akademik tempatan telah bersetuju bahawa PKM bukanlah pejuang negara tetapi PKM tidak ubah seperti sebuah organisasi pengganas yang sanggup buat apa sahaja untuk mengambil alih negara ini dengan menggunakan keganasan serta menutup kejahatan mereka dengan mendakwa turut berjuang menentang penjajah British dan juga kononnya memperjuangkan nasib pekerja serta kesamarataan.

SEJARAH PARTI KOMUNIS MALAYA

Parti Komunis Malaya telah ditubuhkan pada tahun 1930.Pertubuhan ini ditubuhkan bertujuan untuk menentang penjajahan British serta bercita-cita menubuhkan sebuah republik komunis.Di samping itu, PKM melalui agen-agennya yang membawa ideologi komunis yang berasal dari negara China cuba untuk menyebarkan fahaman komunisme kepada golongan pekerja dan petani dengan menyelusup masuk melalui kesatuan kerja,kelas dan pertubuhan awam tempatan. Semasa era penjajah Jepun memerintah negara ini bermula pada 1942-1945 daripada pihak penjajah British, PKM telah bergiat aktif untuk menentang penjajahan Jepun dengan menubuhkan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). MPAJA bekerjasama dengan pihak British melalui Force 136 untuk mendapatkan bantuan senjata,latihan,kemudahan logistik serta maklumat perisikan untuk menentang Jepun. Pihak British mengganggap hubungan antara PKM melalui MPAJA hanya untuk sementara waktu serta mendesak MPAJA untuk menyerahkan semula senjata yang diberikan oleh mereka kepada pihak British selepas tamat perang.

Selepas kekalahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1945 akibat pengeboman bom atom di Hiroshima dan Nagasaki oleh tentera Berikat (Amerika Syarikat) yang menamatkan perang dunia kedua, dan pada ketika itu Tanah Melayu tidak mempunyai institusi politik yang mentadbir. Pada masa yang sama pihak MPAJA(PKM) telah bersiap sedia untuk mengambil alih negara dengan melakukan keganasan 14 hari. Melalui pasukan gerila MPAJA, mereka telah melakukan keganasan yang tidak berperikemanusiaan dengan membunuh penduduk Tanah Melayu yang tidak berdosa. Mereka menahan,menangkap dan membunuh sesiapa yang disyaki pernah bersubahat dengan Jepun dan juga membunuh sesiapa sahaja yang tidak mahu bekerjasama dengan mereka. Pihak komunis juga menghukum dan menggugut sesiapa yang tidak mahu menyertai mereka dan sekiranya mereka enggan menyertai, kemungkinan seluruh keluarga mereka akan diheret ke medan pembunuhan besar-besaran. Menurut laporan penduduk kampung di Batu Pahat dan Jelebu,pihak MPAJA yang dikenali sebagai Bintang Tiga telah merampas harta benda penduduk dan membakar kampung-kampung. Adakalanya mereka mengenakan pelbagai cukai seperti cukai kepala,cukai harta serta membuat undang-undang rimba sendiri.

Keganasan yang dilakukan oleh Bintang Tiga (PKM) telah memberi kesan yang cukup besar kepada penduduk di Tanah Melayu. Antaranya berlaku ketegangan kaum kerana kebanyakkan PKM adalah orang cina. Yang keduanya adalah berlaku huru-hara yang luar biasa di beberapa tempat yang berdepan dengan keganasan komunis. Penduduk terpaksa berpindah-randah untuk menyelamatkan diri dari ancaman komunis serta sanggup menentang komunis yang bertindak zalim terhadap mereka. Contoh yang lebih tepat lagi adalah penentangan kiai salleh terhadap pihak komunis di bandar Batu Pahat. Keadaan di Tanah Melayu mula sedikit pulih selepas sekembalinya British ke Tanah Melayu. Pihak British telah memperkenalkan Pentadbiran Tentera British (PTB) sebagai suatu pentadbiran peralihan sebelum sebelum pentadbiran awam diperkenalkan.

Ketika era darurat yang berlaku pada sekitar 1948-1960, keadaan huru-hara kembali berlaku semula. Sebenarnya, pada masa itu boleh dikatakan berlaku perang antara gerila PKM dengan penduduk tempatan dan kerajaan British di Malaya. Istilah perang digantikan dengan darurat supaya penduduk Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) tidak berasa panik dan penduduk tempatan tidak akan menolak pemberian insurans untuk menggantikan harta benda mereka yang musnah (jikalau mereka mendapat tahu berlaku perang,mereka enggan menerima sebarang pemberian insurans). Langkah darurat ini dibuat bertujuan untuk membendung ancaman komunis serta tentangan parti-parti radikal yang sealiran dengan pihak komunis(PKM). Oleh itu,PKM telah diharamkan oleh kerajaan beserta parti-parti radikal yang bersekongkol dengan komunis. Pengharaman itu menyebabkan PKM bertindak dengan lebih agresif untuk menentang pihak kerajaan pada masa itu.Pembentukkan Persekutuan Tanah Melayu melalui Perjanjian PTM benar-benar memberi satu tamparan hebat kepada PKM kerana ia menjadi suatu kekalahan bagi PKM disebabkan mereka diketepikan oleh British.PKM merasakan peluang mereka untuk menguasai Malaya gagal akibat tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikan Malayan Union.

Bermula dengan tragedi pembunuhan tiga orang pengurus berbangsa inggeris di sungai siput,Perak pada tahun 1948 sehinggalah pembunuhan Sir Henry Gurney iaitu Pesuruhjaya Tinggi British. Menurut sumber sejarah, PKM telah menghasut orang ramai dan dikalangan mereka majoritinya adalah berbangsa cina. PKM mendapat pertolongan melalui Min Yuen untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan maklumat perisikan. Biasanya Min Yuen bergerak pada waktu malam dan ia sukar dikesan oleh pihak berkuasa oleh kerana mereka boleh menyamar sebagai penduduk tempatan. Situasi penduduk tempatan yang berada dalam keadaan kesulitan menyebabkan mereka rela untuk menyertai anggota polis/tentera untuk berjuang menentang komunis.

Langkah untuk membendung ancaman PKM dibuat melalui Rancangan Briggs yang berperanan untuk memindahkan penempatan setinggan cina yang disyaki membantu pihak komunis dengan menempatkan mereka semula di kampung baru yang berpusat. Ia dilengkapi dengan pagar dawai, kemudahan kesihatan dan pendidikan serta pengawal keselamatan. Selain itu, hampir 70,000 anggota polis British dan mata-mata khas ditambah.Perintah berkurung dikuatkuasakan serta merta dan juga pengenalan kawasan hitam dan putih. Sekatan jalan raya dilakukan dikawasan yang berisiko menghadapi ancaman komunis. Di samping itu, pasukan Home Guard diperkenalkan dan dianggotai lebih 200,000 oleh penduduk tempatan untuk membanteras ancaman komunis. Dan juga pengenalan sistem kad pengenalan bagi memudahkan identiti seseorang itu dikenalpasti.

Perang psikologi menjadi pilihan kerajaan untuk membendung sebarang anasir komunis. Tawaran berbentuk ganjaran diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkap ahli PKM terutamanya yang berjawatan kanan dalam PKM.Dianggarkan ganjaran lebih RM25,000 pada masa itu diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Chin Peng (Kepala PKM) sama ada menangkapnya hidup-hidup ataupun mati.Bagaimanapun, ganjaran yang diberikan telah menyebabkan anggota PKM belot terhadap parti mereka akibat termakan umpan ganjaran tersebut.Mereka tidak rela berdepan dengan tekanan serta tidak mahu menanggung kesengsaraan hidup dan lebih rela berpaling tadah daripada PKM.Kelemahan PKM akibat dilemahkan oleh penentangan secara besaran-besaran menyebabkan PKM mahu berunding dengan Kerajaan melalui Rundingan Baling 1955. Dalam rundingan tersebut, PKM mendesak Tunku Abdul Rahman untuk mengiktiraf PKM sebagai parti politik yang sah sebagai syarat untuk meletakkan senjata. Kerajaan Parti Perikatan pada masa itu dibawah pimpinan Tunku Abdul Rahman enggan mengiktiraf PKM dan menegaskan PKM supaya menyerah kalah sepenuhnya. Lagi pun, fahaman komunis yang dibawa oleh PKM tidak sesuai untuk sebuah negara yang berbilang kaum dan majoriti rakyat negara ini adalah orang islam. Pengiktirafan PKM sebagai parti politik juga tidak wajar dipertimbangkan oleh kerana PKM telah melakukan keganasan yang melampaui batas dan ramai rakyat Malaya terkorban angkara keganasan PKM.

Ancaman serius PKM telah berjaya ditamatkan disebabkan pengunduran mereka sempadan Thailand. Pada ketika itu, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan dan kerajaan Parti Perikatan menjadi parti politik yang sah dipilih oleh rakyat untuk mentadbir negara.

Bersambung pada bahagian terakhir nanti.....

No comments:

Post a Comment