Friday, July 16, 2010

Politik baru selepas PRU ke-12 ?


Apabila negara kita dilanda tsunami politik pada 8 mac 2008, ramai penganalisis politik mengatakan ia adalah suatu bentuk transformasi politik baru yang menekankan kematangan rakyat untuk memilih pemimpin atau parti yang memerintah . Politik baru yang lebih menekankan suatu pendekatan yang tidak lagi berasaskan kepada satu kaum . Maksud yang tersirat disini adalah pada pilihanraya umum ke-12, hampir sebahagian rakyat memilih parti yang tidak berasaskan suatu kaum atau lebih tepat lagi parti yang dianggotai pelbagai kaum . Seperti mana PKR dan DAP yang mendakwa memperjuangkan keadilan untuk semua kaum . Faktor-faktor lain yang mempengaruhi perjalanan politik negara dengan kewujudan golongan rakyat yang berfikiran terbuka atau liberal yang majoritinya adalah golongan muda . Angin perubahan juga berlaku dikalangan pengundi bukan melayu yang cenderung sokongannya terhadap pembangkang disebabkan ketidakpuasan hati mereka terhadap dasar kerajaan. Sebelum tsunami politik melanda negara pun, terdapat banyak masalah atau kepincangan berlaku dalam negara . Bermula dengan isu Hindraf, masalah kehakiman dan polis, rasuah dalam kerajaan, dan juga perhimpunan BERSIH . Isu-isu yang saya sebutkan tadi gagal diselesaikan dengan cara baik oleh pihak kerajaan . Maka, kesannya menyebabkan sebahagian rakyat sudah hilang keyakinan terhadap pihak kerajaan. Isu-isu yang gagal ditangani oleh pihak kerajaan membolehkan pihak pembangkang mendapat keuntungan yang besar dengan menggunakan isu tersebut dalam pilihanraya . Pihak pembangkang akhirnya meraih kuasa politik dengan berjaya menafikan majoriti dua pertiga parti Barisan Nasional dalam Dewan Rakyat .
Berbalik kepada persoalan tajuk di atas , saya tidak fikir negara kita telah mencapai suatu perkembangan politik baru yang menekankan kematangan demokrasi kelas pertama .
Kenyataan saya ini boleh diperkukuhkan dengan dua bukti . Yang pertamanya adalah politik negara kita yang berlaku pada masa sekarang ini lebih kepada politik kebencian . Kita boleh melihat perilaku ahli-ahli politik kita yang kurang kematangan untuk berfikir mengenai soal kemajuan negara . Apa yang berlaku sekarang adalah, sesetengah politik seringkali suka tuduh-menuduh, menghina dan mencaci antara suatu sama lain . Dan juga dikalangan mereka yang memang rakus terlalu nakkan kuasa sehingga sering menuduh pihak kerajaan dengan fitnah dan tuduhan yang tidak berasas . Ada juga ahli parlimen yang lebih suka berpolitik dalam perbahasan di dewan rakyat . Seperti mana kekecohan kerapkali berlaku dalam Dewan rakyat disebabkan oleh sifat politiking mereka yang mempolitikkan suatu isu . Yang keduannya politik negara kita telah dipengaruhi oleh perang persepsi antara pihak pembangkang dan kerajaan . Umum mengetahui akan tindak-tanduk sesetengah ahli politik terutamanya daripada pembangkang . Sesetengah daripada mereka suka mensensasikan suatu isu panas masih dalam siasatan pihak berkuasa. Contohnya kes kematian Teoh Beng Hock, tanpa apa-apa bukti dan siasatan, mereka terus menuduh yang Teoh Beng Hock mati dibunuh. Dalam pentas politik juga, puak-puak DAP menggunakan isu Teoh Beng Hock untuk mewujudkan suatu persepsi terhadap masyarakat cina bahawa pihak berkuasa tidak adil dan menuding jari terhadap pihak kerajaan yang seolah-seolah dianggap salah oleh mereka . Isu kapal selam rosak turut sama dipolitikkan dengan anggapan kerajaan gagal dalam menguruskan aset pertahanan negara .
Kesimpulan yang boleh saya buat adalah kita masih belum mencapai suatu bentuk politik baru seperti mana tahap demokrasi di negara Amerika syarikat dan Britain . Politik kita lebih kepada permusuhan dan sentimen kebencian terhadap satu sama lain . Apa yang berlaku pada ketika ini lebih kepada persaingan persepsi politik yang tidak sihat yang merugikan negara . Realitinya, terlalu banyak masa dibazirkan dengan perihal politik yang tidak memberikan kebaikan kepada rakyat khususnya . Ini menjadikannya sebagai batu penghalang kepada pembangunan sesebuah negara dan kemajuan ekonomi sekiranya kita terus bermain-main politik tanpa mempedulikan masalah rakyat yang sepatutnya menjadi tumpuan ahli politik kita .

3 comments:

  1. ya...betul tue..sy setuju sangat dengan apa yang saudara katakan..alih-alih rakyat yang menjadi mangsa...

    ReplyDelete
  2. Terlalu banyak berpolitik sehingga merugikan masa dan tenaga seperti kata pepatah menang sorak kampung tergadai .

    ReplyDelete
  3. bt0l tue..meka nie mcm xpikir hal ehwal rakyat lak..mcm nie la klu kepentingan diri menjadi keutamaan..tanggungjawab dilupakan..

    ReplyDelete